Monday, November 28, 2016

Leman Sg Chincin

Tak tahu nak letak tajuk apa. Tapi kisah ini benar-benar berlaku beberapa tahun lalu. 


Saya fikir saya jahat! Saya juga fikir saya jahil. Saya cuba untuk berbuat baik, saya cuba buat secara sembunyi-sembunyi. Sebab banyak juga kisah para sahabat, mereka juga ada yang buat baik secara sembunyi-sembunyi. 


Jiran saya, Pak Tua. Hidup berseorangan. Oleh kerana dia berseorangan, saya cuba bantu hidup dia dengan memberikan dia wang belanja, mohonkan bantuan dari pusat zakat, dan ambil tahu tentang kesihatan dia. Saya berjiran dengan dia dari tahun 2002 hingga 2010. 


Alhamdulillah, sedikit sebanyak apa yang saya makan, dia dapat makan juga. Apa saya pakai, dia boleh pakai juga. Bila dia lapar, dia datang minta makanan, kalau dia nak belanja, saya bagi belanja. Sesekali bila tak sihat, dia minta belikan ubat. Kalau rasa sakit sangat, dia ajak ke klinik. 


Pada ketika dia menghembus nafasnya yang terakhir, saya dah ke tempat kerja. Dapat panggilan dari jiran mengatakan 'Pak Tua' dah tiada. 


Ketika sampai, saya lihat dia tertiarap di atas lantai. Kerana ketika orang nak masuk, pintu rumah berkunci. 


Datang seorang pemuda yang juga jiran saya. Nama Leman. Dia kerja mengambil upah kerja2 dalam kampung. Dia ambil upah mengali kubur juga. Dia banyak uruskan hal-hal berkaitan 'fardu kifayah' dalam kampung. Dulu ketika di kampung masih gotong royong kenduri, dia jugalah saya lihat yang sibuk uruskan hal kenduri kendara hinggalah pada urusan masjid. 


Sangat menyentuh hati saya, saya merasakan semua 'kebaikan saya pada Pak Tua' hilang begitu sahaja. Ketika saya lihat dia angkat 'jenazah' Pak Tua dengan penuh kasih sayang, dia lap muka Pak Tua dengan baju dia. Dia buang semut yang ada pada jasad Pak Tua yang mungkin kerana ada manisan minuman pada baju / pakaian Pak Tua pada malam sebelum ajalnya. 


Sangkaan saya, saya dah cukup baik. Rupanya si Leman ini telah membuktikan bahawa dia 'lebih baik' dari saya..


Jazakallah Khairan..