Monday, August 10, 2015

Tosei Sayur! Karipap!

Beberapa hari lepas, saya baca kisah seorang bekas pentadbir tanah nama Abdul Ghani Haron kot. Kisah dia mengajak minum seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang potong rumput. Selesai dia belanja orang tua tu makan tosei sayur tu, orang tua tu mengeluarkan uncang plastik yang mengandungi duit syiling & beberapa keping duit seringit. 

Apabila tahu sekeping tosei sayur tu berharga 3.50 sekeping. Dia cuba beli sekeping untuk di bawa pulang. Nak bagi isteri & anaknya. Katanya, 'ketika saya makan tadi, saya rasa sedap', saya teringatkan keluarga saya'! 

Itu kisah dia! Kisah saya adalah Kisah Karipap! 

Sekitar tahun 2005 atau 2006. Saya di pentadbiran. Bilik hujung sekali bersebelahan dengan bilik pegawai kewangan Puan Siti Haila. 

Di hadapan pintu masuk bilik saya, ada seorang kakak bernama Rosnah. Saya panggil dia 'Mak Ros'. Sebab semua orang panggil dia Mak Ros. Anak dia nama Nor Azura Abu Samah. Finalis Nona, pembaca berita / ramalan cuaca TV1 & TV3 sebelum menyertai TV Hijrah sebagai pembaca berita utama. 

Kisah karipap itu sebenarnya begini. Ketika saya di kampung aekitar umur 8 ke 10 tahun, kalau kakak atau emak saya ke mana2 majlis sama ada program dalam atau luar dari kampung, jika ada karipap, mereka akan letak dalam tisu dan letak dalam beg tangan sebelum di bawa pulang untuk saya! Bila sampai rumah, karipap tu dah ada 'rasa' bedak, rasa gincu atau rasa minyak atar. Kerana lama dalam beg tangan. 😄

Ketika saya mengenali Mak Ros, dia sedar saya jarang-jarang keluar makan jika saya di pejabat. Kecuali saya ada mesyuarat di luar kawasan pejabat atau sekitar lembah kelang. 

Menyentuh hati saya, Mak Ros juga melakukan perkara yang sama. Jika ada mesyuarat pentadbiran atau kewangan di Bilik Gerakan JPK, Mak Ros akan letak kuih dalam tisu, dan akan memberikan pada saya. 
Rasa nak mengalir air mata. Kerana ketika itu, kakak dah arwah, manakala mak saya pula dalam keadaan lumpuh separuh badan akibat angin ahmar. 

Padahal Mak Ros tak kenal pun siapa saya, keluarga saya pada ketika itu. Dia cuma percaya! Saya pernah juga keluar bersama anaknya beberapa kali. Tapi tak ada niat tersembunyi, hanya hormat pada Mak Ros! 

No comments: