Wednesday, May 6, 2015

Sebenarnya saya bodoh..

Jangan bandingkan dengan kisah pemuda dan epal. Kerana sebiji epal, pemuda tersebut terpaksa berkhadam dan berkahwin pula dengan perempuan buta, bisu dan kudung. Jika ada sedikit pun persamaan, hanya kebetulan nak menyedapkan cerita. :) 

Saya tak pernah jadi no 1 sepanjang hidup saya, begitu juga ketika peperiksaan atau ujian di sekolah. Kerana nombor yang bagus-bagus semuanya telah di ambil orang. :) 

Ahli keluarga tak ada yang pernah masuk universiti. Semua hanya dapat pendidikan rendah. Pendidikan ayah saya tak tahu, kerana tak pernah tinggal bersama, pendidikan ibu pun hanya darjah 1 atau darjah 2 sahaja. Oleh kerana ibu saya lahir pada tahun 1933, usia persekolahan nya adalah zaman perang dunia. Ibu hanya boleh membaca AlQuran dan jawi. Kakak tiri yang tinggal bersama, pendidikan dia mungkin setakat darjah lima. Nenek tak bersekolah, pun hanya tahu baca Quran dan jawi. 

Saya kehilangan nenek tahun 1987, kakak tiri tahun 1990, ayah pada tahun 1996 dan yang akhir ibu tahun 2006. Putus hubungan atas dunia dengan mereka. Saya tak terkilan. Kerana ibu pernah cakap, sebelum dia mati, dia hanya ingin lihat saya masuk universiti. Dia seakan menyesal kerana dia tak berjaya menghantar saya ( membiayai ) hingga ke tahap itu. Saya menolak hasratnya menjual sebahagian tanah yang ada hanya kerana nak membiayai pengajian saya. Nampak kekesalan nya hingga lah dia sakit pada tahun 2002. 

Sebaik sahaja saya dapat pekerjaan di awal tahun 1999 ( pekerjaan sekarang ), saya telah mendaftar di universiti tempatan. Walaupun dengan status luar tingkap ( itu bahasa yang mereka guna bagi mod pengajian luar kampus ). 

2003 saya lulus dan bawa balik skrol saya yang pertama. Ibu saya menjunjung skrol tersebut seperti menjunjung AlQuran. Dengan linangan air mata, dia berkata.. " kalau mak mati, mak puas hati dah.. ".

Ketika tamat persekolahan sekolah menengah, saya minta izin untuk keluar dari kampung. Berat hati  dia, kerana saya lah sahaja anak yang dia ada. Tapi saya tetap berkeras untuk keluar dari kampung kerana malu dengan orang kampung. ( walau ada orang kampung yang anggap saya keluar dari kampung kerana gadis yang saya suka, sudah di tunangkan dengan orang lain ). :p 

Cuma.. Dia berpesan.. " Jangan buntingkan anak dara orang.. " 


No comments: