Friday, May 22, 2015

Sam, Raja Permaisuri dan Puteri!

Cerita ni berlaku di luar negara. Bulan Februari tahun 2012. 

Saya dapat jemputan / pelawaan dari kenalan di twitter. Saya di jemput hadir ke rumahnya untuk bersarapan pagi. Setelah berkenal mesra, saya di pelawa ke rumahnya di Makati, Manila. 

Mereka diplomat di sana ( Filipina ). Saya di bawa menginap di kedutaan Malaysia sebagai tetamu. Selang beberapa hari pasukan bolasepak Malaysia tiba di sana kerana ada perlawanan persahabatan tapi saya terlepas perlawanan tersebut. 

Tapi saya tak kecewa sangat, kerana ada majlis lain yang buat saya akan ingat sampai mati. Malam terakhir saya di Makati, saya di ajak menemani Datuk Seri dan Datin Seri berbual dengan 'Raja Permaisuri dan Puteri' nya. Sebagai rakyat bawahan yang comot, mestilah saya cuba mengelak kerana saya sedar diri akan taraf saya. 

Paling kelakar, kerana Datin Seri memperkenalkan saya dengan nama twitter saya.. 'Sam'! Walaupun saya cuba betulkan dengan nama Hisham, tapi Raja Permaisuri dan Puteri nya tetap memangil saya dengan nama 'Sam'.. Tiada protokol! Saya lupa membahasakan diri dengan nama 'Patik' dan 'Tuanku', saya merasakan malam tersebut adalah malam yang paling berharga buat saya, saya turut mengambil kesempatan untuk bergambar. Cuma bila di fikirkan kembali akan cerita sebaliknya, saya simpan sebagai simpanan peribadi. 

Masa berlalu. Sesekali saya dan 'Puteri' bertanya khabar, tapi kalau 'bersembang' pun hanya perkara yang tidak rumit. Bual kosong. 

Saya masih tak membiasakan diri dengan panggilan istana.. :) 

Friday, May 8, 2015

Hisham dan Haslina!

Itu kawan duet saya darjah 5. Kami pernah menyanyi sama. Lagu Kain Pelikat oleh Anuar & Elina. Seperti Elina, Haslina ni pun sama hilang entah kemana.. Bukan cinta saya! Hanya sekali persembahan di hari guru. Itu sahaja. :) 

Muzik bukan minat saya ketika itu. Lebih kepada 'pengembaraan', lebih kepada hal yang 'adventure'. 

Misi setiap petang, ke kilang-kilang berdekatan. Kilang air kotak, kilang kacang & kilang kulit. Saya ke tempat sampah setiap kilang untuk mengutip air kotak yang terbuang, kutip kacang yang berciciran di pintu masuk kilang & ambil kulit perca untuk di buat dompet. Dulu nama tempat tu kawasan perindustrian Pokok Assam ( Tupai ). 

Lewat petang akan berbasikal ke kawasan kedai panjang. Masuk kawasan perumahan. Kemudian ke lorong rumah 'cinta' saya ketika itu. :) Saya pula tak pandai naik basikal ketika itu, kena tumpang basikal kawan lain. Sepanjang tempoh saya lalu, tak pernah sekali pun saya nampak dia. Hinggalah sekarang, jika saya ke bandar Taiping, saya tetap akan guna laluan yang sama. :)

Selebihnya masa, saya kerumah kawan di kawasan rumah hijau untuk bermain layang-layang. Hasni nama dia. Kali terakhir saya jumpa dia di Ipoh. Ketika itu saya menjalani latihan bolasepak bersama pasukan negeri.. Sekitar tahun 89 atau 90.. Liga Semi Pro.. 

Hasni bekerja di sebuah kilang selipar. Saya agak ketika itu ramai kawan sebaya mula bekerja untuk menyara diri masing-masing. 

Sorang lagi kawan nama Dzulkifli, lepas sekolah saya ada jumpa dia bekerja di kedai Doli, sebagai pembancuh air bersama abangnya. Ketika itu kue tiaw doli masih di tapak pasar malam. Tapi maklumat terbaru, saya dengar dia dah ada kedai makan sendiri di Pokok Assam. 

Cuma saya terkilan, ada sorang kawan ni, nama Rashidi. Biasa saya menunggu bas di hadapan rumahnya, cuma bila dah tamat sekolah, putus hubungan. Mungkin keluarganya agak berada berbanding keluarga saya yang tidak ada dan saya pula tidak bijak. Tapi tak mengapalah. Sesiapa sahaja berhak memilih kawan. 

Saya tak pernah anggap 'cinta' saya ketika itu berbalas, tak pernah lafaz pun.. Hanya guna perkataan suka. Itu sesuai dengan zaman itu. Tak pernah tulis atau beritahu sesiapa. Hinggalah pada beberapa hari lepas. Tapi dah tak penting rasanya. Kerana masa dah mengubah segalanya..

Saya masih terperangkap dengan zaman yang saya tak mungkin ingat jika tak kerana 'lintasan hati' yang benar-benar buat saya sedar bahawa, usia yang menganjak tua ini mengingatkan pada dosa & pahala yang mungkin telah berlaku sepanjang tempoh itu. 

Hanya.. Kenangan itu sangat mengusik jiwa.. :) 

Wednesday, May 6, 2015

Sebenarnya saya bodoh..

Jangan bandingkan dengan kisah pemuda dan epal. Kerana sebiji epal, pemuda tersebut terpaksa berkhadam dan berkahwin pula dengan perempuan buta, bisu dan kudung. Jika ada sedikit pun persamaan, hanya kebetulan nak menyedapkan cerita. :) 

Saya tak pernah jadi no 1 sepanjang hidup saya, begitu juga ketika peperiksaan atau ujian di sekolah. Kerana nombor yang bagus-bagus semuanya telah di ambil orang. :) 

Ahli keluarga tak ada yang pernah masuk universiti. Semua hanya dapat pendidikan rendah. Pendidikan ayah saya tak tahu, kerana tak pernah tinggal bersama, pendidikan ibu pun hanya darjah 1 atau darjah 2 sahaja. Oleh kerana ibu saya lahir pada tahun 1933, usia persekolahan nya adalah zaman perang dunia. Ibu hanya boleh membaca AlQuran dan jawi. Kakak tiri yang tinggal bersama, pendidikan dia mungkin setakat darjah lima. Nenek tak bersekolah, pun hanya tahu baca Quran dan jawi. 

Saya kehilangan nenek tahun 1987, kakak tiri tahun 1990, ayah pada tahun 1996 dan yang akhir ibu tahun 2006. Putus hubungan atas dunia dengan mereka. Saya tak terkilan. Kerana ibu pernah cakap, sebelum dia mati, dia hanya ingin lihat saya masuk universiti. Dia seakan menyesal kerana dia tak berjaya menghantar saya ( membiayai ) hingga ke tahap itu. Saya menolak hasratnya menjual sebahagian tanah yang ada hanya kerana nak membiayai pengajian saya. Nampak kekesalan nya hingga lah dia sakit pada tahun 2002. 

Sebaik sahaja saya dapat pekerjaan di awal tahun 1999 ( pekerjaan sekarang ), saya telah mendaftar di universiti tempatan. Walaupun dengan status luar tingkap ( itu bahasa yang mereka guna bagi mod pengajian luar kampus ). 

2003 saya lulus dan bawa balik skrol saya yang pertama. Ibu saya menjunjung skrol tersebut seperti menjunjung AlQuran. Dengan linangan air mata, dia berkata.. " kalau mak mati, mak puas hati dah.. ".

Ketika tamat persekolahan sekolah menengah, saya minta izin untuk keluar dari kampung. Berat hati  dia, kerana saya lah sahaja anak yang dia ada. Tapi saya tetap berkeras untuk keluar dari kampung kerana malu dengan orang kampung. ( walau ada orang kampung yang anggap saya keluar dari kampung kerana gadis yang saya suka, sudah di tunangkan dengan orang lain ). :p 

Cuma.. Dia berpesan.. " Jangan buntingkan anak dara orang.. " 


Tuesday, May 5, 2015

Kantin!

Seingat saya, ibu saya akan bangun seawal jam 4.30 pagi. Masak air panas! Akan kejut saya jam 5.30 pagi untuk bersiap ke sekolah. Air yang dimasak tadi adalah untuk saya mandi! Dulu masak air pakai kayu api. Tak ada dapur minyak tanah atau gas lagi. 

Kadang-kadang ada milo. Tapi jarang sangat dapat milo, sebab dulu milo mahal. Ibu saya akan letak milo dalam botol wiski kaca yang leper tu. Saya tak pasti ibu saya dapat mana, saya agak dari kedai kopi sebelah stesen bas Taiping yang lama dulu tu. 

Biasa orang tengah azan subuh, saya dan ibu akan menunggu bas untuk ke sekolah. Seawal jam 6 atau paling lewat pun 6.10 pagi bas akan sampai. Dan saya akan sampai ke sekolah antara jam 6.55 atau 7.05 pagi.. Itu rutin sepanjang 6 tahun saya bersekolah rendah. 

Sebaik sahaja turun bas, saya akan di pimpin oleh pemandu bas untuk melintas. Selebihnya, saya akan berlari menuju ke sekolah. Jarak pagar sekolah ke bangunan sekolah antara 100 ke 120 meter. Sepanjang jalan masuk ada pokok-pokok bunga kemboja yang tingginya lebih 12 kaki. Saya agak je! 

Rutin awal kelas atau pendidikan jasmani, kena kutip daun & bunga kemboja yang mati / gugur atas jalan & padang. Suasana pagi, macam kat Genting! Berkabus setiap pagi. Padang sentiasa basah dengan air embun. Tapi bagi pelajar India & Cina, mereka selamba je jalan atas padang kerana mereka guna kasut getah fung keong yang 100% getah tu! Kalau basah pun mereka tak heran! 

Sentiasa menunggu jam 10 pagi.. Waktu rehat! Akan berlari ke kantin dengan sekelip mata! Jarang benar saya berjalan, seingat saya, tak pernah kot saya berjalan sepanjang waktu saya di sekolah. Semuanya akan lari atau berlari! Saya hanya diam di kelas agama. Sebab kena berdiri di luar pintu kelas atau berdiri di atas meja! Sampai sekolah menengah pun saya biasa benar kena denda dengan berdiri di atas meja. Zalim betul cikgu pada zaman tu. 

Kantin? Hanya mereka lah yang memahami saya! Mereka sahaja lah yang tahu selera saya. Hingga saya mengikuti pengajian di peringkat universiti tu pun, saya suka berada di tempat makan yang mereka dah tukar nama.. Tak panggil kantin dah, tapi mereka panggil dengan nama Cafetaria. Kalau kelas di Stadium Shah Alam tu, Chicken Chop harga 5 ringgit je.. Tahun 2003 agaknya.. 

Kantin sekolah menengah tak berhubung sangat, sebab banyak makan vadeh & muruku John! 

Kantin sekolah rendah ni pemilik & pengendali nya orang Cina! Mereka sekeluarga uruskan kantin tersebut. Lupa nama! Tapi 6 tahun hidup saya, merekalah 'keluarga saya', mereka lah yang bagi saya makan dengan secukupnya. Selepas waktu sekolah, di sanalah saya makan sebelum bersiar di kawasan sekitar sekolah sebelum jam 6.30 petang untuk waktu balik. Bas biasanya akan sampai antara jam 6.50 petang dan sampai rumah sebelum waktu maghrib. 

Habis maghrib, kena kerahan untuk mengaji muqadam & quran pula! 

Jam 9 malam, dah masuk dalam kelambu! Nenek akan kipas dengan kain hinggalah saya lena!  Tiadalah Donny & Marie untuk saya. Tiada lah Baa Baa Black Ship atau Combat untuk saya.. 

Kantin? Entahlah! Saya masih tak boleh bercerita atau dedahkan siapa cinta pertama saya! 

:) 





Monday, May 4, 2015

Sekolah!

Hanya kebetulan, saya suka berada dalam perpustakaan sejak sekolah rendah lagi. Bukan membaca sangat pun, tapi melihat. Kalau ada baca pun, bukan buku ilmiah atau akedemik. Buku melayu, buku hikayat, buku inggeris mesti kisah penyiasatan. Kelas untuk murid cina saya tak pasti mereka belajar bahasa apa. Bagi kelas tamil, biasa dengar 'pa da im, padam, ma da im, madam'. Sampai hari ini saya ingat! 

Saya tak belajar sangat pasal agama, entah apa yang tak kena. Saya sentiasa di denda atau di hukum setiap kali ada kelas agama. Mungkin saya memberontak secara halus. Setiap kali bulan puasa, saya tak dapat tinggalkan mee kari / mee rebus & nasi lemak yang di jual di kantin sekolah. Akibatnya, saya akan di halau dari kelas atau berdiri di atas meja. Seingat saya, berlarutan hingga ke darjah 6. 

Saya bukan contoh yang baik, mula belajar muqadam pada umur 8 atau 9 tahun, khatam pada umur 11 atau 12 tahun. Saya tak pasti umur sebenar, tapi ada majlis khatam quran sebelum saya naik ke sekolah menengah. 

Kenapa saya ceritakan? Entahlah.. Saya suka bercerita agaknya, kerana jika saya berbual, tak ada orang nak dengar. Hahahaha.. 

Jarak antara sekolah dan rumah 9 batu, mengikut kiraan kilometer dalam 13 KM. Saya tak pasti sejauh mana kebenarannya berkaitan dengan niat ibu saya untuk menghantar ke sekolah inggeris. Menurut nenek ( Opah ), Pakcik Puteh yang memaksa ibu saya untuk ke sekolah tersebut. Tapi tak logik juga kerana Pakcik Puteh itu sendiri menghantar anak-anaknya ke sekolah Saint George dan King Edward.

Saya ke sekolah kerana dapat belanja dan makan. Jika tak ada belanja pun, pihak kantin akan memberi makanan secara percuma. Salah sorang guru berjanji akan membayar setiap makanan yang saya makan. 

Hingga tamat sekolah saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pihak kantin! 

Sekian! :p