Sunday, December 27, 2015

Daun kering?

Selawat dan salam ke atas junjungan.
Selamat Hari Natal. 

Saya di ingatkan oleh kawan sekolah rendah, saya dah lupa pada rupa, kenangan dan raut wajahnya. Saya agak dia masih marah dengan saya. Kerana perbualan di whatsapp group di biarkan begitu sahaja. Saya boleh buat apa? Saya memang betul dah lupa. Marilah kita sama-sama berdoa agar mereka memaafkan saya. 

'Di waktu rehat, kita biasa bermain bersama, kita main daun dan rumput kering, awak dah lupa? Awak dan saya sama-sama mengumpul daun dan rumput kering' 

Saya ingat! Saya ingat pada daun, rumput kering tu, termasuk juga pokok saga yang menghasilkan biji saga berwarna merah dan pokok yang ada bahagian mengeluarkan buih sabun tu. Bila di campur air, kita gosok di tangan, akan berbuih seperti sabun. Manakala daun atau rumput itu pula, akan simpan di helaian buku atau gam pada kertas lukisan atau simpan daun kaktus yang akan tumbuh akar sampai keluar dari helaian buku. 

Kalau jumpa pokok kaktus, akan patahkan duri dan ukir nama buah hati masing-masing. Contoh : sham ( bentuk hati ) hamisah, atau zack ( bentuk hati ) azura. :) 

Saya masih suka aksi lasak main kabaddi lagi. Tapi perempuan ni lebih sensitif dan sentimental, mereka lebih ingat daun yang di selit celah buku lagi daripada 'rumble' aksi lasak menyerang dan menangkap pihak lawan sambil sebut 'ka ba di, ka ba si, ka ba di... ' 

Yang paling mahal, orang tetap ingat pada kita! 

Thursday, October 1, 2015

Tukang Azan!

Selawat dan salam ke atas junjungan. 

Saya bukan ustad! Saya bukan penceramah atau pendakwah agama. Hanya Mat Rock 3 suku yang suka membaca & mula belajar menulis. 

Kisah Azan & Pulau Pinang tu mengingatkan saya pada kisah yang berlaku lebih 30 tahun lalu. Kisah saya di Surau Kampung Kubu Bukit Gantang Taiping Perak Malaysia ( Saya nyatakan alamat penuh kerana pembaca facebook & blog saya dah ada merata dunia :) ) 

Di kampung itulah saya belajar Azan & Qamat, yang mengalakkan saya mencuba adalah Sham Pak Bedul & Murad Haji Termizi. 

Umur masa tu mungkin dalam 12 atau 13 tahun. Tukang azan / bilal yang sedia ada pada masa tu adalah Haji Idris, Pak Lang Noh, Pak Lang Mansor. Kadang2 Haji Shaari atau Udin pun sama akan azan. 

Kisah bermula pada suatu hari tu, saya meninggalkan padang bola lebih awal dari biasa kerana memang niat nak jadi tukang azan, saya pun segera ke madrasah ( kampung saya panggil surau tu Madrasah ) 

Sebaik sampai ke madrasah, saya dah nampak Pak Lang Mansor dah ambil air sembahyang ( wuduk ), saya dengan pantas ambil air sembahyang juga dah terus naik ke madrasah dan berada di hadapan mikrofon. Saya memang benar2 nak ambil tugas dia, sebab malam pengajian di madrasah sebelum ni menerangkan kisah betapa besarnya pahala sorang tukang azan.

Pak Lang Mansor tu bila nampak saya dah berapa di hadapan ruang solat di depan mikrofon, dia pun beralah mengesot ke tepi madrasah. 

Nak di jadikan cerita, saya buat salah ketika sedang azan, saya tertukar 'marilah menuju kejayaan' dengan 'marilah sembahyang'. Dari bawah madrasah saya dengar Haji Idris bertempik mengarahkan saya mengulangi semula 'marilah sembahyang dan kemudian nya baru 'marilah menuju kejayaan'. Memang rasa nak lari dari kampung ketika tu. Mana ada orang buat salah pada perkara yang sebegitu mudah.

Malam tu juga, ada program pengajian, Kisah Bilal bin Rabah & kisah sahabat nabi saw yang cuba mengambil alih tugas Bilal sebagai tukang azan. Sahabat tadi mengatakan bahawa suara & laguya lebih sedap dari Bilal. 

Selesai solat tersebut, Malaikat bertanya pada Nabi Muhammad saw mengapa subuh tadi tak dengar azan, Malaikat tak dengar azan tersebut. 

Saya pelajari sesuatu! Ilmu bukan cara kita nak buktikan diri kita lebih bagus daripada orang lain! 

Thursday, August 13, 2015

Apa yang perempuan mahu?

Saya nampak Nisa share di facebook. Perempuan hari ini sudah berkerjaya. Boleh menyediakan segala keperluan bagi sebuah keluarga. Saya akui, perempuan hari ini memiliki pelajaran, kerjaya yang melebihi dari seorang lelaki. Pendapatan yang lumayan juga. 

Manakala lelaki pula, lebih suka hidup sederhana seperti saya, pelajaran dah la tak tinggi, kerja memilih-milih. Buat kerja ikut suka hati, bila malas ambil cuti atau pergi klinik untuk dapatkan cuti sakit. 

Pemerhatian saya, anak muda hari ini sudah tidak pentingkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Mereka suka kerja yang tidak memerlukan komitmen yang tinggi. Tidak mahu kerja yang rumit dan susah. Trend lelaki bergaya atau menunjuk macam mewah ni macam dah kurang sikit. Tapi setakat temberang tu ada la juga. Buat kerja mudah macam jual beli emas, jual kad topup yang boleh jadi pendapatan berpuluh ribu ringgit, forex tukaran wang asing yang boleh jadi ratusan ribu ringgit, MLM, pergi kursus atau program motivasi yang cium duit. 

Ada juga yang menunjuk bergaya mewah dengan kereta ratusan ribu ringgit, pakaian jenama mahal, akhirnya anggap perniagaan rugi sebab bisnes tak berjaya. Memang la tak berjaya kalau modal buat deposit kereta, lepas tu berkonvoi ke tempat2 ceramah konon nak berjaya kena hidup bergaya. Kena cari ahli yang boleh bayar deposit kereta mewah, konon jual produk dan khidmat nasihat / motivasi. Akhirnya mengaku bahawa bisnes rugi kerana di tipu orang atau tidak memdapat sokongan adik beradik dan saudara mara. Akhirnya sauadara mara pun menjauhkan diri. Kerana anggap telah di tipunya juga. Dah tentu duit yang di pinjam sebagai modal pun tidak akan di bayar. 

Tajuk saya tadi, apa yang perempuan mahu dari seorang lelaki dan apa yang lelaki itu perlu buat supaya perempuan itu sudi menjadi teman hidupnya? 

Lelaki memang la nak lawa, cantik, halus mulus, perempuan pula nak hensem, manis dan hitam macam saya, tapi berapa lama pula boleh bertahan? Perempuan pun sama, ketika berkerjaya dan banyak duit, mungkin la lelaki tu dengar akan cakap sepenuh hati. 

Saya pun tak ada rumusan untuk hidup bahagia. Saya pun tak ada petua mengatasi kecurangan pasangan masing-masing. Hari ini kita milik pasangan kita, esok kita tak tahu pula siapa pasangan kita. Lusa mungkin kita dah tak peduli siapa pasangan kita. 

Saya percaya, hari ni kita bahagiakan orang, kita gembirakan orang, kita akan menumpang kegembiraan orang lain. Kita tolong orang, kita bantu orang, esok orang menyampah dan membenci kita juga. Belum tentu perbuatan kita akan memenuhi kehendak orang. 

Cuma mak pernah pesan, 'jangan buntingkan anak dara orang!' Dan saya pula tambah, 'elak berhubung dengan bini orang!' Itu prinsip paling mudah la kot. Sebab saya rasa kalau bergaduh berebut perempuan ni macam pelik la pulak. Patut hormat 'hak milik orang lain'. 

Kerana itu saya tak berjaya agaknya. Saya tak suka berebut 'kasihnya orang'. 


Monday, August 10, 2015

Tosei Sayur! Karipap!

Beberapa hari lepas, saya baca kisah seorang bekas pentadbir tanah nama Abdul Ghani Haron kot. Kisah dia mengajak minum seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang potong rumput. Selesai dia belanja orang tua tu makan tosei sayur tu, orang tua tu mengeluarkan uncang plastik yang mengandungi duit syiling & beberapa keping duit seringit. 

Apabila tahu sekeping tosei sayur tu berharga 3.50 sekeping. Dia cuba beli sekeping untuk di bawa pulang. Nak bagi isteri & anaknya. Katanya, 'ketika saya makan tadi, saya rasa sedap', saya teringatkan keluarga saya'! 

Itu kisah dia! Kisah saya adalah Kisah Karipap! 

Sekitar tahun 2005 atau 2006. Saya di pentadbiran. Bilik hujung sekali bersebelahan dengan bilik pegawai kewangan Puan Siti Haila. 

Di hadapan pintu masuk bilik saya, ada seorang kakak bernama Rosnah. Saya panggil dia 'Mak Ros'. Sebab semua orang panggil dia Mak Ros. Anak dia nama Nor Azura Abu Samah. Finalis Nona, pembaca berita / ramalan cuaca TV1 & TV3 sebelum menyertai TV Hijrah sebagai pembaca berita utama. 

Kisah karipap itu sebenarnya begini. Ketika saya di kampung aekitar umur 8 ke 10 tahun, kalau kakak atau emak saya ke mana2 majlis sama ada program dalam atau luar dari kampung, jika ada karipap, mereka akan letak dalam tisu dan letak dalam beg tangan sebelum di bawa pulang untuk saya! Bila sampai rumah, karipap tu dah ada 'rasa' bedak, rasa gincu atau rasa minyak atar. Kerana lama dalam beg tangan. 😄

Ketika saya mengenali Mak Ros, dia sedar saya jarang-jarang keluar makan jika saya di pejabat. Kecuali saya ada mesyuarat di luar kawasan pejabat atau sekitar lembah kelang. 

Menyentuh hati saya, Mak Ros juga melakukan perkara yang sama. Jika ada mesyuarat pentadbiran atau kewangan di Bilik Gerakan JPK, Mak Ros akan letak kuih dalam tisu, dan akan memberikan pada saya. 
Rasa nak mengalir air mata. Kerana ketika itu, kakak dah arwah, manakala mak saya pula dalam keadaan lumpuh separuh badan akibat angin ahmar. 

Padahal Mak Ros tak kenal pun siapa saya, keluarga saya pada ketika itu. Dia cuma percaya! Saya pernah juga keluar bersama anaknya beberapa kali. Tapi tak ada niat tersembunyi, hanya hormat pada Mak Ros! 

Saya dan Zara! 😄

Daripada 10 orang, 9 orang percaya itu adalah gambar saya. Tapi betul ke itu adalah gambar saya? Lebih 1 orang itu pula anggap gambar itu di ubahsuai atau edit. 

Persepsi! Saya dah alami kejadian yang serupa sejak 2006 atau 2007. Akibatnya saya di tukarkan ke bahagian lain dengan alasan 'gangguan seksual'. Lebih menarik, yang percaya itu pula adalah pegawai atasan peringkat penolong pengarah, penguasa, timbalan pengarah & pengarah sendiri! Padahal selama itu saya bekerja terus 'di bawah hidung' pengurusan tertinggi. 

Bukan rezeki saya! Tak mengapalah jika tiada sebarang pangkat atau apa-apa perhargaan. Saya terima dengan hati yang terbuka. 

Yang mengecewakan saya bukan kerana tak naik pangkat, tapi persepsi dan cakap belakang oleh kawan-kawan. Membabitkan keluarga saya juga. Ada yang anggap saya guna sihir, ada yang cakap saya guna bomoh demi mendapat perhatian dari pegawai atasan dan mereka yang berpengaruh. 

Saya pujuk hati agar tidak mendedahkan siapa atau mereka yang pergunakan saya. Sebab saya percaya, masing-masing ada masalah sendiri.

Saya doakan mereka terus berjaya. Niat saya nak buat kerja. Setakat yang saya mampu sahajalah. Bukan nak berlumba atau mengumpul kekayaan. Tak ada niat nak menunjuk apa pun. Saya suka berkawan. Saya boleh bermesra dengan sesiapa sahaja.

Cuma, kalau bini orang, kalau tunang orang atau kekasih orang tu, saya memang tak akan tegur, komen di facebook, bertanya khabar di whatsapp atau like gambar di instagram atau menghantar video di wechat.

Kalau selisih di pejabat atau di luar, sekadar senyuman dah cukup la kot! 😄

Friday, July 17, 2015

Thu Sun!

Setiap kali raya kedua, boleh kata hampir semua 'pemuda' di kampung berada di 'pusat hiburan keluarga' di bandar Taiping ni. Ada panggung / cinema / wayang lucah di dalam pusat hiburan tu. tiket 50 sen dan 80 sen. Di ambang kemerosotan harga naik 1.20 sen. Tapi kemunculan laser disc menamatkan riwayat panggung sun ni. Muncul pusat hiburan keluarga yang lebih ekslusif dengan tayangan filem lucah dan XXX tu. ( ketika pertama kali lihat laser disc, saya tak sangka gambar yang sangat jelas tu boleh menampakkan perbezaan warna pada kulit dan parut atau lipatan yang tak disangka pada tubuh badan! Saya anggap itu sains! ) 

Panggung buruk yang menyediakan kain layar putih yang koyak, bumbung yang tiris, bangku kayu yang tak berapa nak bersih akibat pancutan pancutan awal yang tidak terkawal! :)

Sebelum menunggu masa tayangan, ada meja biliard dan permain video SEGA seperti PACMAN, Street Fighter, Flight 1942. Bagi yang berduit, boleh order maggi celup, asam laksa atau rojak buah di sebelah panggung. 

Misi saya sangat ringkas. Sediakan tambang bas 90 sen ( pergi balik / sehala hanya 45 sen ), tiket wayang 80 sen, dan 20 sen untuk apam balik di Stesen Bas. 

Zaman berubah, dari naik bas, saya boleh naik basikal untuk ke 'pusat hiburan keluarga' kemudian ada motosikal hinggalah berkereta. Tapi ketika saya berkereta, panggung tu dah pun tutup! 

Yang menariknya, setiap kali musim raya, saya akan ingat mereka-mereka yang pernah saya jumpa / menonton sama. Kumpulan kumpulan yang pernah bersama saya untuk ke bandar tersebut. 

Dan.. Lakonan yang baik adalah, kami sepakat dengan cerita pergi berhari raya di rumah kawan-kawan yang lain. Di surau atau di tempat mengaji quran, kami dah reka cerita supaya cerita itu sama untuk di sampaikan pada keluarga masing-masing! 

Selamat Hari Raya Kawan-Kawan! :) 

Hari Raya!

Raya yang saya tak lupa! Ada polis datang ketuk pintu rumah suruh sambut raya! Katanya anak bulan dah nampak! Sultan arah rakyat sambut raya! ( Perak ) walau negeri lain sambut raya keesokan hari.. 

Ada seorang pakcik tukang gunting rambut akan datang rumah untuk gunting rambut! Lupa nama.. Rasanya Osman! 

Kakak, mak & nenek akan buat kuih bahulu di bawah rumah! Bakar guna sabut. Guna periuk letak pasir, lepas tu letak tin biskut yang di potong / ratakan untuk letak bara sabut di atas periuk! Saya suka bahulu ikan! 

Akan kerumah makcik tunggu baju raya siap! Baju saya paling akhir dia buat! Tak tahu kenapa, tapi setiap tahun memang baju saya adalah yang terakhir. Orang panggil Wan Rahmah! 

Selepas siap baju raya, cepat-cepat ke surau! Sembahyang raya! Lepas sembahyang akan ziarah kubur! Dapat 20 sen! 

Selesai ziarah kubur, akan ziarah rumah-rumah sekitar kubur hingga lah kerumah saya yang paling hujung. Paling banyak dapat duit raya 2 ringgit! 

Masa lepas sekolah, sama juga! Cuma tak dapat duit raya, tapi lepas ziarah kubur akan lepak bus stop! Beli rokok  kotak kecik yang 7 batang tu.. Seringgit empat puluh sen! ( 1.40 )! 

Dah tua ni! Hanya ke masjid, balik rumah! Tunggu orang datang rumah! Kos? Rasanya boleh beli kancil tahun 2006 secara tunai! 😜

Thursday, July 2, 2015

Polis Sentri!

Malam 7 likur! Saya faham malam 7 likur itu adalah pada 7 hari ( malam ) akhir ramadhan yang ganjil. Iaitu pada malam 17, 19, 21, 23, 25, 27 dan malam 29. Malam yang dipercayai berlakunya Lailatul Qadar. 

Tapi sejak ramai orang kita belajar di timur tengah ni, fahaman saya tidak boleh diterima pakai lagi. Maka eloklah rujuk kepada ustaz-ustaz lulusan timur tengah ini. Saya tidak setanding dengan mereka. Mereka balik sini dah pandai cakap arab malah jika orang arab lihat mereka pun, boleh jadi mereka lebih arab dari orang arab itu sendiri. 

Saya mengisi malam-malam 7 likur itu dengan bermain 'polis sentri'. Masa mula permainan adalah pada azan isyak dan tamat pada solat witir rakaat yang pertama. Witir rakaat yang kedua, saya dah pun bersama jemaah lain berada dalam saf! :) 

Masa itu berguna kerana para ibu bapa sedang mengejar pahala berganda dengan solat sunat terawih. Ketika morey, baru sedar muka siapa yang kena cakar, dahi siapa bercalar kerana terlanggar dawai penyidai, atau ada kain atau baju yang terkena tahi ayam ketika menyorok di belakang reban ayam. 

Seluar baju koyak itu dah jadi biasa. Kerana permainan 'polis sentri' ni dah macam bermain ragbi, tapi tiada bola. 

Yang jadi ingatan pada saya adalah kerana ketika itu ada Sarimah, Fatimah, Saadiah, Hashimah, Intan, Hamidah dan ramai lagi.. 

Salam Ramadhan / Malam 7 Likur! :p 

Friday, May 22, 2015

Sam, Raja Permaisuri dan Puteri!

Cerita ni berlaku di luar negara. Bulan Februari tahun 2012. 

Saya dapat jemputan / pelawaan dari kenalan di twitter. Saya di jemput hadir ke rumahnya untuk bersarapan pagi. Setelah berkenal mesra, saya di pelawa ke rumahnya di Makati, Manila. 

Mereka diplomat di sana ( Filipina ). Saya di bawa menginap di kedutaan Malaysia sebagai tetamu. Selang beberapa hari pasukan bolasepak Malaysia tiba di sana kerana ada perlawanan persahabatan tapi saya terlepas perlawanan tersebut. 

Tapi saya tak kecewa sangat, kerana ada majlis lain yang buat saya akan ingat sampai mati. Malam terakhir saya di Makati, saya di ajak menemani Datuk Seri dan Datin Seri berbual dengan 'Raja Permaisuri dan Puteri' nya. Sebagai rakyat bawahan yang comot, mestilah saya cuba mengelak kerana saya sedar diri akan taraf saya. 

Paling kelakar, kerana Datin Seri memperkenalkan saya dengan nama twitter saya.. 'Sam'! Walaupun saya cuba betulkan dengan nama Hisham, tapi Raja Permaisuri dan Puteri nya tetap memangil saya dengan nama 'Sam'.. Tiada protokol! Saya lupa membahasakan diri dengan nama 'Patik' dan 'Tuanku', saya merasakan malam tersebut adalah malam yang paling berharga buat saya, saya turut mengambil kesempatan untuk bergambar. Cuma bila di fikirkan kembali akan cerita sebaliknya, saya simpan sebagai simpanan peribadi. 

Masa berlalu. Sesekali saya dan 'Puteri' bertanya khabar, tapi kalau 'bersembang' pun hanya perkara yang tidak rumit. Bual kosong. 

Saya masih tak membiasakan diri dengan panggilan istana.. :) 

Friday, May 8, 2015

Hisham dan Haslina!

Itu kawan duet saya darjah 5. Kami pernah menyanyi sama. Lagu Kain Pelikat oleh Anuar & Elina. Seperti Elina, Haslina ni pun sama hilang entah kemana.. Bukan cinta saya! Hanya sekali persembahan di hari guru. Itu sahaja. :) 

Muzik bukan minat saya ketika itu. Lebih kepada 'pengembaraan', lebih kepada hal yang 'adventure'. 

Misi setiap petang, ke kilang-kilang berdekatan. Kilang air kotak, kilang kacang & kilang kulit. Saya ke tempat sampah setiap kilang untuk mengutip air kotak yang terbuang, kutip kacang yang berciciran di pintu masuk kilang & ambil kulit perca untuk di buat dompet. Dulu nama tempat tu kawasan perindustrian Pokok Assam ( Tupai ). 

Lewat petang akan berbasikal ke kawasan kedai panjang. Masuk kawasan perumahan. Kemudian ke lorong rumah 'cinta' saya ketika itu. :) Saya pula tak pandai naik basikal ketika itu, kena tumpang basikal kawan lain. Sepanjang tempoh saya lalu, tak pernah sekali pun saya nampak dia. Hinggalah sekarang, jika saya ke bandar Taiping, saya tetap akan guna laluan yang sama. :)

Selebihnya masa, saya kerumah kawan di kawasan rumah hijau untuk bermain layang-layang. Hasni nama dia. Kali terakhir saya jumpa dia di Ipoh. Ketika itu saya menjalani latihan bolasepak bersama pasukan negeri.. Sekitar tahun 89 atau 90.. Liga Semi Pro.. 

Hasni bekerja di sebuah kilang selipar. Saya agak ketika itu ramai kawan sebaya mula bekerja untuk menyara diri masing-masing. 

Sorang lagi kawan nama Dzulkifli, lepas sekolah saya ada jumpa dia bekerja di kedai Doli, sebagai pembancuh air bersama abangnya. Ketika itu kue tiaw doli masih di tapak pasar malam. Tapi maklumat terbaru, saya dengar dia dah ada kedai makan sendiri di Pokok Assam. 

Cuma saya terkilan, ada sorang kawan ni, nama Rashidi. Biasa saya menunggu bas di hadapan rumahnya, cuma bila dah tamat sekolah, putus hubungan. Mungkin keluarganya agak berada berbanding keluarga saya yang tidak ada dan saya pula tidak bijak. Tapi tak mengapalah. Sesiapa sahaja berhak memilih kawan. 

Saya tak pernah anggap 'cinta' saya ketika itu berbalas, tak pernah lafaz pun.. Hanya guna perkataan suka. Itu sesuai dengan zaman itu. Tak pernah tulis atau beritahu sesiapa. Hinggalah pada beberapa hari lepas. Tapi dah tak penting rasanya. Kerana masa dah mengubah segalanya..

Saya masih terperangkap dengan zaman yang saya tak mungkin ingat jika tak kerana 'lintasan hati' yang benar-benar buat saya sedar bahawa, usia yang menganjak tua ini mengingatkan pada dosa & pahala yang mungkin telah berlaku sepanjang tempoh itu. 

Hanya.. Kenangan itu sangat mengusik jiwa.. :) 

Wednesday, May 6, 2015

Sebenarnya saya bodoh..

Jangan bandingkan dengan kisah pemuda dan epal. Kerana sebiji epal, pemuda tersebut terpaksa berkhadam dan berkahwin pula dengan perempuan buta, bisu dan kudung. Jika ada sedikit pun persamaan, hanya kebetulan nak menyedapkan cerita. :) 

Saya tak pernah jadi no 1 sepanjang hidup saya, begitu juga ketika peperiksaan atau ujian di sekolah. Kerana nombor yang bagus-bagus semuanya telah di ambil orang. :) 

Ahli keluarga tak ada yang pernah masuk universiti. Semua hanya dapat pendidikan rendah. Pendidikan ayah saya tak tahu, kerana tak pernah tinggal bersama, pendidikan ibu pun hanya darjah 1 atau darjah 2 sahaja. Oleh kerana ibu saya lahir pada tahun 1933, usia persekolahan nya adalah zaman perang dunia. Ibu hanya boleh membaca AlQuran dan jawi. Kakak tiri yang tinggal bersama, pendidikan dia mungkin setakat darjah lima. Nenek tak bersekolah, pun hanya tahu baca Quran dan jawi. 

Saya kehilangan nenek tahun 1987, kakak tiri tahun 1990, ayah pada tahun 1996 dan yang akhir ibu tahun 2006. Putus hubungan atas dunia dengan mereka. Saya tak terkilan. Kerana ibu pernah cakap, sebelum dia mati, dia hanya ingin lihat saya masuk universiti. Dia seakan menyesal kerana dia tak berjaya menghantar saya ( membiayai ) hingga ke tahap itu. Saya menolak hasratnya menjual sebahagian tanah yang ada hanya kerana nak membiayai pengajian saya. Nampak kekesalan nya hingga lah dia sakit pada tahun 2002. 

Sebaik sahaja saya dapat pekerjaan di awal tahun 1999 ( pekerjaan sekarang ), saya telah mendaftar di universiti tempatan. Walaupun dengan status luar tingkap ( itu bahasa yang mereka guna bagi mod pengajian luar kampus ). 

2003 saya lulus dan bawa balik skrol saya yang pertama. Ibu saya menjunjung skrol tersebut seperti menjunjung AlQuran. Dengan linangan air mata, dia berkata.. " kalau mak mati, mak puas hati dah.. ".

Ketika tamat persekolahan sekolah menengah, saya minta izin untuk keluar dari kampung. Berat hati  dia, kerana saya lah sahaja anak yang dia ada. Tapi saya tetap berkeras untuk keluar dari kampung kerana malu dengan orang kampung. ( walau ada orang kampung yang anggap saya keluar dari kampung kerana gadis yang saya suka, sudah di tunangkan dengan orang lain ). :p 

Cuma.. Dia berpesan.. " Jangan buntingkan anak dara orang.. " 


Tuesday, May 5, 2015

Kantin!

Seingat saya, ibu saya akan bangun seawal jam 4.30 pagi. Masak air panas! Akan kejut saya jam 5.30 pagi untuk bersiap ke sekolah. Air yang dimasak tadi adalah untuk saya mandi! Dulu masak air pakai kayu api. Tak ada dapur minyak tanah atau gas lagi. 

Kadang-kadang ada milo. Tapi jarang sangat dapat milo, sebab dulu milo mahal. Ibu saya akan letak milo dalam botol wiski kaca yang leper tu. Saya tak pasti ibu saya dapat mana, saya agak dari kedai kopi sebelah stesen bas Taiping yang lama dulu tu. 

Biasa orang tengah azan subuh, saya dan ibu akan menunggu bas untuk ke sekolah. Seawal jam 6 atau paling lewat pun 6.10 pagi bas akan sampai. Dan saya akan sampai ke sekolah antara jam 6.55 atau 7.05 pagi.. Itu rutin sepanjang 6 tahun saya bersekolah rendah. 

Sebaik sahaja turun bas, saya akan di pimpin oleh pemandu bas untuk melintas. Selebihnya, saya akan berlari menuju ke sekolah. Jarak pagar sekolah ke bangunan sekolah antara 100 ke 120 meter. Sepanjang jalan masuk ada pokok-pokok bunga kemboja yang tingginya lebih 12 kaki. Saya agak je! 

Rutin awal kelas atau pendidikan jasmani, kena kutip daun & bunga kemboja yang mati / gugur atas jalan & padang. Suasana pagi, macam kat Genting! Berkabus setiap pagi. Padang sentiasa basah dengan air embun. Tapi bagi pelajar India & Cina, mereka selamba je jalan atas padang kerana mereka guna kasut getah fung keong yang 100% getah tu! Kalau basah pun mereka tak heran! 

Sentiasa menunggu jam 10 pagi.. Waktu rehat! Akan berlari ke kantin dengan sekelip mata! Jarang benar saya berjalan, seingat saya, tak pernah kot saya berjalan sepanjang waktu saya di sekolah. Semuanya akan lari atau berlari! Saya hanya diam di kelas agama. Sebab kena berdiri di luar pintu kelas atau berdiri di atas meja! Sampai sekolah menengah pun saya biasa benar kena denda dengan berdiri di atas meja. Zalim betul cikgu pada zaman tu. 

Kantin? Hanya mereka lah yang memahami saya! Mereka sahaja lah yang tahu selera saya. Hingga saya mengikuti pengajian di peringkat universiti tu pun, saya suka berada di tempat makan yang mereka dah tukar nama.. Tak panggil kantin dah, tapi mereka panggil dengan nama Cafetaria. Kalau kelas di Stadium Shah Alam tu, Chicken Chop harga 5 ringgit je.. Tahun 2003 agaknya.. 

Kantin sekolah menengah tak berhubung sangat, sebab banyak makan vadeh & muruku John! 

Kantin sekolah rendah ni pemilik & pengendali nya orang Cina! Mereka sekeluarga uruskan kantin tersebut. Lupa nama! Tapi 6 tahun hidup saya, merekalah 'keluarga saya', mereka lah yang bagi saya makan dengan secukupnya. Selepas waktu sekolah, di sanalah saya makan sebelum bersiar di kawasan sekitar sekolah sebelum jam 6.30 petang untuk waktu balik. Bas biasanya akan sampai antara jam 6.50 petang dan sampai rumah sebelum waktu maghrib. 

Habis maghrib, kena kerahan untuk mengaji muqadam & quran pula! 

Jam 9 malam, dah masuk dalam kelambu! Nenek akan kipas dengan kain hinggalah saya lena!  Tiadalah Donny & Marie untuk saya. Tiada lah Baa Baa Black Ship atau Combat untuk saya.. 

Kantin? Entahlah! Saya masih tak boleh bercerita atau dedahkan siapa cinta pertama saya! 

:) 





Monday, May 4, 2015

Sekolah!

Hanya kebetulan, saya suka berada dalam perpustakaan sejak sekolah rendah lagi. Bukan membaca sangat pun, tapi melihat. Kalau ada baca pun, bukan buku ilmiah atau akedemik. Buku melayu, buku hikayat, buku inggeris mesti kisah penyiasatan. Kelas untuk murid cina saya tak pasti mereka belajar bahasa apa. Bagi kelas tamil, biasa dengar 'pa da im, padam, ma da im, madam'. Sampai hari ini saya ingat! 

Saya tak belajar sangat pasal agama, entah apa yang tak kena. Saya sentiasa di denda atau di hukum setiap kali ada kelas agama. Mungkin saya memberontak secara halus. Setiap kali bulan puasa, saya tak dapat tinggalkan mee kari / mee rebus & nasi lemak yang di jual di kantin sekolah. Akibatnya, saya akan di halau dari kelas atau berdiri di atas meja. Seingat saya, berlarutan hingga ke darjah 6. 

Saya bukan contoh yang baik, mula belajar muqadam pada umur 8 atau 9 tahun, khatam pada umur 11 atau 12 tahun. Saya tak pasti umur sebenar, tapi ada majlis khatam quran sebelum saya naik ke sekolah menengah. 

Kenapa saya ceritakan? Entahlah.. Saya suka bercerita agaknya, kerana jika saya berbual, tak ada orang nak dengar. Hahahaha.. 

Jarak antara sekolah dan rumah 9 batu, mengikut kiraan kilometer dalam 13 KM. Saya tak pasti sejauh mana kebenarannya berkaitan dengan niat ibu saya untuk menghantar ke sekolah inggeris. Menurut nenek ( Opah ), Pakcik Puteh yang memaksa ibu saya untuk ke sekolah tersebut. Tapi tak logik juga kerana Pakcik Puteh itu sendiri menghantar anak-anaknya ke sekolah Saint George dan King Edward.

Saya ke sekolah kerana dapat belanja dan makan. Jika tak ada belanja pun, pihak kantin akan memberi makanan secara percuma. Salah sorang guru berjanji akan membayar setiap makanan yang saya makan. 

Hingga tamat sekolah saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pihak kantin! 

Sekian! :p 

Tuesday, April 28, 2015

Cinta pertama! Rupanya 35 tahun lalu!

Ketika saya menulis tentang Che Pah, itu dah berlaku 25 tahun lalu. Kini saya di kejutkan dengan cinta pertama yang berlaku 35 tahun yang lalu. 

Beberapa hari lepas, saya mengelintar laman Facebook berkaitan sekolah rendah yang saya pernah hadiri selama 6 tahun ( 1978 hingga 1983 ). Alangkah terkejutnya saya bila di sapa oleh seseorang, menyatakan bahawa, saya adalah cinta pertama kawannya. Kini menjadi iparnya. Bermakna dah 35 tahun dia ingat saya. Apa yang patut saya jawab? 

Selang sehari, saya dapat pesanan ringkas di whatsapp, walaupun dari nombor yang saya tidak kenali, saya boleh agak dari siapa. Sebenarnya saya mengenali dan ingat juga, cuma bila dah tua-tua ni tak mungkin la saya menunjukkan rasa teruja tersebut. Ansur-ansur saya tanyakan khabar, tanyakan kawan-kawan lain yang sebaya juga. Saya agak, dia juga begitu. 

Tak mungkin kisah selama 35 tahun boleh di ingati dengan sekelip mata. Tapi kekuasaan pencipta, kita tak boleh elak untuk kembali mengimbas apa yang berlaku itu seolah-lah masih baru berlaku. 

Saya bukan ungkit kisah cinta atau kerana itu cinta pertama kami berdua. Cuma menzahirkan ingatan itu. Saya mengambarkan situasi yang mungkin berlaku jika tidak terpisah. Boleh jadi jiran sebelah rumah, boleh jadi menjadi saudara kita kerana ikatan perkahwinan, boleh jadi menjadi rakan di sebuah kawasan penempatan atau mungkin anak-anak kita dah menjalinkan persahabatan di sekolah yang sama. 

Demi menjaga keharmonian rumahtangga masing-masing, saya tidak akan dedahkan nama atau siapa yang saya maksudkan. Kerana takut kawan-kawan Che Pah bertanya pula pada saya, siapakan yang pernah menjadi cinta pertama saya 35 tahun yang lalu. 

Jazakallah.. 

Friday, January 30, 2015

Mengamit kenangan atau teringatkan seseorang?

Mata masih tidak dapat di pujuk. Masih mengulang lagu Sayap Ilusi Wings sejak siang tadi. Entah apa yang tak kena, saya cuba untuk membaca. Kebiasaan malam cuti, akan cuba marathon habiskan bacaan ringan / novel.

Mengelak untuk berbalas msg dengan sesiapa pun. Tak mahu di salah anggap atau disalah erti pula maksud dalam perbualan.

Masih mendengar lagu, masih mengelamun. Berhenti membaca dan menulis. Tapi tiada subjek. Entah kekasih, entah kawan, entah siapa pula yang merindui.. Kata orang, jika orang rindu kita, kita akan turut sama..

Saya senyum sendirian.. Kerana saya tak pernah percaya pada cinta..

Sayap Ilusi

Semakin jauh ku renungi diri
Semakin dekat kekasih di hati
Dia mentari akulah sinarnya
Dia lautan akulah airnya

Kalaulah ada selain darimu
Biarku hancur dan menjadi debu

Bila hadir cinta yang satu
Tidak ku peduli seteru
Menghukum aku dengan dusta
Neraca dunia hakimnya

Kerana cinta
Biar aku dianggap gila
Terbang dengan sayap illusi
Bertutur dalam bahasa hati

Bila hadir cinta yang satu
Jangan ditanya siapa dia
tanya dia siapa kita
Dan pulang kemana akhirnya