Saturday, September 27, 2014

Penguatkuasa? Apa tu?

Macam-macam kerja saya buat sebelum dapat tawaran kerja sebagai penguatkuasa di DBKL. Memang tak kisah pun kerja apa, asalkan dapat gaji. Masa muda-muda dulu, kerja bawa arak pun pernah. Kerja di Pasaraya Store. Oleh kerana tidak ada melayu yang sanggup, saya tawarkan diri untuk pindahkan beberapa karton arak.

Niat saya ketika itu, nak selamatkan melayu lain dari dapat dosa, biarlah saya seorang yang berdosa. Saya pun pikul dan bawa arak-arak tersebut ke tempat yang di arahkan. Jika dosa itu yang saya dapat, saya fikir itu dosa yang paling bermakna & menjadi tauladan.

Ketika pintu rumah di ketuk, saya ingat orang datang nak tarik kereta. Sebab dah beberapa bulan kereta tak bayar. Rupanya penghantar surat dari DBKL hantar surat tawaran lapur diri sebagai Penguatkuasa DBKL. Dalam hati, ini lah rezeki yang saya tak akan tolak. Bekerja dengan pemerintah! Dah lama simpan cita-cita nak berkhidmat dengan kerajaan.

Balik kampung dan beritahu emak.

"Emak, Sham dapat kerja sebagai penguatkuasa di KL."

"Kerja apa tu?"

"Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, macam Majlis Perbandaran Taiping tu.."

"Oo.. Kerja Majlis Bandaran, yang sapu sampah tu kan? Bagus la.. Dapat juga gaji, boleh kawin sara anak bini juga nanti.. "

"Emm.. Yela mak.. Sham tak kisah.. "

Itu perbualan saya dengan emak saya.. 16 tahun lalu.

Tak sampai setahun kerja, ada orang kampung nampak saya kat KL agaknya, masa tu telefon baru masuk di rumah kampung, dapat panggilan dari mak

"Kamu kerja penguatkuasa yang saman-saman orang tu ke? "

"Haah mak. Kenapa?"

"Banyak la kamu makan rasuah?"

"Hiss.. Mak ni. Siapa bagi tau?"

"Ada jiran ni bagi tau.."

"Nanti sham balik, sham akan bagitau mak, sebab sham masuk bahagian sukan, jadi sham banyak main sukan je..

Bayangkan persepsi yang masyarakat bina untuk warga penguatkuasa. Mak sendiri pun boleh hilang percaya! Apa lagi orang lain!

Wallahualam..