Monday, August 4, 2014

Rupanya Tuhan jadikan kita berpuak-puak dan berbeza darjat!

Sepatutnya saya menulis dalam ruang politik dan agama, blog hooliganatwork. Tapi saya merasakan tajuk ini memiliki rasa cinta pada manusia dan kisah berbilang tabiat manusia. Maka saya pilih untuk catatkan pada ruang sosial shamhashim.blogspot.

Lintasan yang berlaku sejak ramadhan dan awal syawal ini adalah gambar dan perbualan / chat kumpulan whatsapp. Kerana menemukan beberapa rakan dan kenalan dari kampung dan sekolah dan kisah kejayaan mereka menempuh perjalanan hidup masing-masing. 

Penceritaan dan berita yang saya baca dan dapat tahu, lebih menyayat hati. Sepertimana waris kapal terbang yang hilang dan yang ditembak jatuh dan mati. Beberapa rakan telah pergi kerana sakit dan menderita penyakit yang bakal menyebabkan mati. Ada yang kemalangan, ada yang cedera, ada yang dipotong kaki, ada yang menngidap barah / kanser dan ada yang lumpuh dan tidak lagi kenal akan kawan. 

Melihat kesungguhan kawan-kawan yang lain menyediakan tabung bantuan dan sumbangan wang ringgit dan ada yang membawa ubat dan pelbagai lagi bentuk sumbangan. Ada yang dah sangat berjaya, ada yang dah kaya raya, ada yang popular, ada yang dah macam wakil rakyat dan qda juga yang dah gila kerana tekanan dan memiliki masalah yang kita tak boleh selesaikan. 

Saya hilang punca. Kerana saya masih sama. Maju kedepan pun tidak, undur kebelakang pun tidak. Nak membantu yang susah dan sakit pun tak mampu, nak duduk minum dan makan semeja dengan mereka yang dah berjaya pun rasa malu. 

Bila tanya pakai kereta apa, bila tanya rumah dimana, itu sahajalah pertanyaan yang terakhir atau itulah perbualan terakhir yang saya akan dapat. Tiada lagi undangan ke majlis. Tiada lagi ajakan ke kedai minum atau pesanan ringkas memaklumkan hal-hal semasa perkembangan kawan-kawan yang lain.

Mulanya saya anggap mereka yang pelik, tapi bila setiap kumpulan yang pernah mengenali bertindak demikian, maka saya sangat pasti bahawa bukan salah mereka. Salah saya kerana tidak pandai bergaul dan menyesuaikan diri dengan mereka. Atau, mungkin juga dengan cara kefahaman saya tentang politik dan menerangkan perjalanan sebuah kerajaan dan pemerintahan bentuk negara yang demokrasi. Mereka anggap dengan sokongan dan pangkah undi itu adalah jaminan dosa mereka terhapus kerana percaya pada ulama yang menjadikan logo politik itu satu jalan mencari syurga.

Saya masih membuang masa dengan memerhati dan membaca status facebook kawan-kawan lain, saya masih baca isi kandungan kumpulan whatsapp dan saya masih melihat bentuk hubungan antara kawan-kawan yang saya sendiri rasa malu kerana tak dapat jadi macam mereka. 

Ketika saya anjurkan bahawa saya tidak mahu bermesej atau menghantar pesanan ringkas pada sesiapa sahaja selepas 10 malam, mereka anggap saya bergurau, tapi bukan saya menjaga masa saya, saya lebih menghormati masa dan waktu mereka bersama pasangan masing-masing. Jika si isteri pada suami dan anak-anaknya, jika si suami, tumpuan pada keperluan isterinya. Saya bimbang saya salah menyebut beberapa patah perkataan atau ayat yang mungkin menyebabkan keluarga mereka pula berantakan. 

Saya suka bersama kawan, saya suka bersama teman. Begitu juga pada mereka yang boleh menerima lawak dan jenaka saya. Saya juga tak kisah mendengar lawak dan jenaka mereka juga. Hanya kerana saya fikirkan kawan-kawan saya lebih berjaya dalam kerjaya dan lebih pandai bersosial daripada saya. 

Jadi lebih baik saya diam.