Monday, January 13, 2014

Wahab Geduk, Lope dan Dunia!

Wahab Geduk tu kawan saya, Lope tu pula saya kenal sebagai orang yang mengambil upah mencari kayu api dan menjaga lembu. Tak ingat pula saya asal usul Lope tu, tapi saya rasa hanya di kampung sebelah. Yang peliknya saya lupa juga nama kampung tu. 

Wahad Geduk pula saya kenal semua ahli keluarganya. Membesar bersama, cuma dia tak sempat sekolah. Seingat saya bersamanya dia hanya boleh tulis namanya sahaja. 'Wahab'! Entah apa pula pekerjaannya sekarang, tapi ketika sama-sama membesar dulu, kami selalu mencuri buah-buahan dalam kampung. Banyak juga kebun-kebun orang lain kami 'teroka'! Selain itu, kami juga aktif mencuri di pasaraya atau supermarket. 

Bak kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitu juga saya dan Wahab. Kena tangkap juga. Pasaraya The Store di Bandar Taiping tu. Dulu di kenali dengan nama Taiping Supermarket, sebelah Larut Matang Supermarket. Berkaitan dengan buah-buahan dalam kampung tu saya dah berjaya 'minta maaf' dengan pemilik-pemilik kebun. Yang kena tangkap di supermarket tu, kena ketuk ketampi 100 kali. 

Kisah sebenar, saya tak mencuri. Tapi saya bersamanya. Ketika kena tangkap pun, saya mengaku tidak mencuri dan tiada apa pun barangan curi di badan saya. Tapi ketika Wahab di tangkap, timbul rasa 'brotherhood' yang menyebabkan saya mengaku bersamanya. Dan sama-sama menjalani hukuman denda ketuk ketampi tersebut.

Manakala kisah Lope ini pula, seorang pemuda yang jauh lebih tua dari saya, orang yang tidak pernah bersekolah, tidak pernah berkasut, hanya ada sebuah basikal tua yang di gunakan untuk mengangkut kayu. Parang atau gergaji pun tidak ada. Dia akan pinjam dari sesiapa. Seikat kayu yang biasa muat atas basikal. Harga upahnya 2 atau 3 ringgit bagi satu muatan. Dan biasanya cukup untuk kegunaan seminggu. Pakaian nya hanya kemeja dan kain pelikat yang di ikat separuh lutut. Warna kain dan kemeja hampir kelabu! Kerana lusuh dan 'makan dek hari'. 

Kemudian ada seorang lagi, abang ni orang agak takut nak dekat termasuk saya , namanya 'Sooed'! Oleh kerana lesen besarnya keluar masuk pusat pemulihan / rawatan orang gila, saya juga takut untuk dekat dengannya.

Wahab, saya tahu masih hidup, yang Lope dan Sooed ni saya tak pasti. Ketika saya masih bujang dulu, pernah juga bertemu di surau dan masjid. Tapi sekadar bersalam dan bertanya khabar sahaja. Atau kalau ternampak di kedai kopi, saya akan cuba belanja mereka makan dan minum. 

Ketika pilihanraya yang lepas, saya nampak Wahab dengan 'Senapang Angin' nya.. Menurut kawan-kawan, dia ambil upah tembak babi dalam kampung. Entah benar atau tidak, wallahualam! :) 

Apa kena mengena mereka dan saya? Saya cuba sampaikan bahawa, Wahab, Lope atau Sooed tiada beza dengan saya. Di sisi manusia lain, mereka tidak mendatangkankan apa-apa kebaikan kepada masyarakat pun, mereka hanya orang tak sekolah, orang yang tidak ada pekerjaan yang hebat-hebat, mereka tak ada rumah besar, mereka tak ada bini cantik atau kawan-kawan yang yang tahu apa masalah mereka.

Saya nampak 'ahli syurga' pada mereka! Mereka memotong kayu untuk api yang memasak. Mereka memikul jenazah ke liang lahad, mereka basuh pinggan mangkuk di majlis perkahwinan, mereka mungkin mencuri untuk makan, mereka mengambil buah dari kebun orang untuk mengalas perut. Mereka tak pernah sekolah, mereka tidak pernah belajar agama. Mereka tak dapat bantuan. Mereka tak masuk mana-mana parti politik.

Jujurnya, saya pula ingin bertanya, salah siapa mereka jadi begitu? Jika mereka tak sekolah, jika mereka tidak belajar agama, jika mereka di katakan bodoh atau gila? 

Kerana itu ada Agama! 

Jazakallah Khair! 

No comments: