Tuesday, October 17, 2017

Bulan menyinari cahayanya, menerangkan semua,
Seekor burung dengan suaranya yang penuh irama mendayu, bersiul penuh kerinduan kepada bulan, seperti seorang perempuan yang di tinggalkan, meratapi cintanya..

Setiap orang mendengarnya berasa duka nestapa dan belas kasihan di hatinya, sementara air mata mengalir dari matanya..

#hikayatdeli

Monday, October 16, 2017

Zaman Rusak

ZAMAN RUSAK
Raden Ngabehi Ranggawarsita

1. Sekarang derajat negara
terlihat telah suram
pelaksanaan undang-undang sudah rusak
karena tanpa teladan.
Kini, Sang Pujangga
hatinya diliputi rasa sedih, prihatin
tampak jelas kehina-dinannya
amat suram tanda-tanda kehidupan
akibat kesukaran duniawi, bertubi-tubi kebanjiran bencana.

2. Raja yang tengah berkuasa adalah raja utama
perdana menterinya pun seorang yang terpilih
para menteri juga bercita-cita menyejahterakan rakyat
pegawai aparatnya pun baik-baik,
meski demikian tidak menjadi
penolak atas zaman terkutuk ini,
malahan keadaan semakin menjadi-jadi
berbagai rintangan yang mengganggu
berbeda-beda perbuatan angkara orang seluruh negara.

3. Daripada menangis sedih, bangkitlah
wahai Sang Pujangga
meski diliputi penuh duka cita
mendapatkan rasa malu
atas berbagai fitnahan orang.
Mereka yang mendekatimu bergaul,
menghibur, seolah membuat enak hatimu,
padahal bermaksud memperoleh keuntungan,
sehingga merusak cita-cita luhur, karena tanpa kehati-hatianmu.

4. Dasarnya terbetik berbagai berita,
kabar angin yang berujar munafik
Sang Pujangga hendak diangkat menjadi pemuka,
akhirnya malahan berada di belakang.
Apabila dipikir-pikir dengan benar
berfaedah apa berada di muka?
Menanam benih-benih kesalahan
disirami oleh air kelupaan
apabila tumbuh berkembang menjadi kesukaran.

5. Menurut buku Panitisastra
memberi ajaran dan peringatan
di dalam zaman yang penuh bencana
bahwa orang berjiwa bijak justru kalah dan berada di belakang.
Demikian apabila mau memperhatikan tanda-tanda zaman.
Apakah gunanya kita percaya
pada berita-berita kosong
justru terasa semakin menyakitkan hati
lebih baik menulis cerita-cerita kuna.

6. Hal itu dapat digunakan sebagai teladan
untuk membandingkan hal buruk dan baik.
Tentunya banyak juga
lakuan-lakuan yang menjadi contoh
tentang masalah-masalah hidup
hingga akhirnya ditemukannya,
keadaan tawakal (narima),
menyadari akan ketentuan takdir Tuhan,
bagaimana pula hal ini mengalami keanehan.

7. Menghadapi zaman edan
keadaan menjadi serba sulit
turut serta edan tidak tahan
apabila tidak turut serta melakukan
tidak mendapatkan bagian
akhirnya menderita kelaparan.
Sudah kehendak Tuhan Allah
betapun bahagianya orang yang lupa
lebih berbahagia mereka yang sadar dan waspada.

8. Demikianlah perumpamaannya
padahal mereka menginginkan,
bukankah demikian Paman Doplang?
Benar juga yang menyangkanya,
namun di dalam batin
sesungguhnya hal itu masih jauh.
Sudah tua mau apalagi,
sebaiknya menjauhkan diri dari keramaian duniawi
supaya mendapatkan anugerah kasih Tuhan Yang Maha Esa.

9. Berbeda bagi mereka yang telah teguh sentosa jiwanya
dianugerahi Tuhan Yang Maha Esa
betapapun tingkah laku perbuatannya
tidak susah untuk mendapatkan penghasilan
oleh karena dari datangnya pertolongan Tuhan
Tuhan senantiasa memberi petunjuk dan pertolongan
jalannya melalui sesama makhluk
berupa segala sesuatu yang bermanfaat.
Meskipun demikian, dia masih tetap tekun rajin berusaha.

10. Sekadar menjalani hidup
hanya semata bertindak mengenakan hati
asalkan tidak menjadi suatu masalah
dengan memperhatikan petuah orang tua
bahwa ikhtiar itu sesungguhnya
memilih jalan agar selamat
sambil terus berusaha
disertai dengan awas dan sadar
yang bertujuan agar mendapatkan kasih anugerah Tuhan.

11. Ya Allah, ya Rasulullah
yang bersifat pemurah dan pengasih
semoga berkenan melimpahkan
pertolongan yang menyelamatkan
di dunia hingga ke akhirat
tempat hidup hamba
padahal sekarang (hamba) sudah tua
pada akhirnya nanti bagaimana (terserah),
maka semoga ada pertolongan Tuhan.

12. Semoga dapat sabar sentausa
laksana mati di dalam hidup
terbebas dari segala kerusuhan,
angkara murka, tamak, loba menyingkir semua
tiada lain karena berkonsentrasi diri memohon kasih Tuhan
senantiasa melatih hatinya patuh
agar dapat mengurungkan kutukan
sehingga mendapatkan sinar terang sekadarnya
berserah diri agar dapat masuk surga yang berisi keabadian.

Cendekiawan Tanpa Pendirian

Satu hari
apolitik
intelektual
negara saya
akan disoal siasat
oleh yang paling mudah
rakyat kita.

Mereka akan ditanya
apa yang mereka lakukan
apabila negara mereka mati
perlahan-lahan,
seperti api manis
kecil dan bersendirian.

Tiada siapa yang akan bertanya kepada mereka
mengenai pakaian mereka,
sarang panjang mereka
selepas makan tengah hari,
tiada siapa yang ingin tahu
mengenai perlawanan mereka yang steril
dengan "idea itu
daripada apa-apa "
tiada siapa yang peduli
pembelajaran kewangan yang lebih tinggi.

Mereka tidak akan dipersoalkan
pada mitologi Yunani,
atau mengenai jijik diri mereka
apabila seseorang berada di dalamnya
mula mati
kematian pengecut.

Mereka tidak akan ditanya apa-apa
mengenai ketidakpuasan mereka
justifikasi,
lahir dalam bayang-bayang
daripada jumlah keseluruhan kehidupan.

Pada hari itu
orang-orang mudah akan datang.

Mereka yang tidak mempunyai tempat
dalam buku dan puisi
daripada intelektual apolitik,
tetapi disampaikan setiap hari
roti dan susu mereka,
tortilla dan telur mereka,
mereka yang memandu kereta mereka,
yang menjaga anjing dan taman mereka
dan bekerja untuk mereka,
dan mereka akan bertanya:

"Apa yang kamu lakukan ketika orang miskin
menderita, ketika kelembutan
dan kehidupan
dibakar daripada mereka? "

Intelektual Apolitik
negara manis saya,
anda tidak akan dapat menjawabnya.

Sebuah kebodohan berdiam diri
akan makan usus anda.

Kesengsaraan awak sendiri
akan memilih pada jiwa anda.

Dan kamu akan menjadi bisu dalam malu kamu.

Thursday, June 29, 2017

Hukum Kejiranan Dalam Islam

Pandangan Seorang Ustaz

Diriwayatkan dari Imam Khatib Al-Baghdadi ra (Abu Bakr ibn Ali bin Sabit ) dengan sanad yang sahih bahawa telah berkata Sufyan As- Sauri ra " Agama ini dibina dengan Asar -istinbat Al-Qur'an dan sunnah serta apa yang diriwayatkan dari para sahabat yang membawa kepada maksud syariah (Al-Qur'an & Sunnah)- dan bukanlah agama ini dibina dengan akal."

Thursday, May 04, 2006

Hukum Kejiranan Dalam Islam

(Berikut ialah ringkasan dari buku Ustaz Emran yang bertajuk "Fiqh Kejiranan Menurut Sunnah" yang asalnya dicadangkan untuk dibuat satu perbahasan lengkap membahaskan isu kejiranan dalam Islam secara menyeluruh dan aspek-aspeknya namun memandangkan suasana Malaysia dan kurang motivasi beliau maka tidak diselesaikan dan cukuplah ringkasan ini buat manfaat orang awam).

HAK CIPTA TIDAK TERPELIHARA (NAK AMBIL POST KAT MANA-MANA PUN AMBILLAH sebab BUKAN ISU SENSITIF PUN tak payah MINTA IZIN).

Muqadimah

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَاَنتُم مُّسلِمُونَ (آل عمران: 102)
ياَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم من نَّفسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنهَا زَوجَهَا وَبَثَّ مِنهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَولاً سَدِيداً يُصلِح لَكُم اَعمَالَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنُوبَكُم وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد فَاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:

Kedudukan jiran sangat penting dalam Islam namun dalam kepesatan teknologi dan kemodenan manusia hari ini ramai yang sudah melupakan hak jiran dan tanggungjawab di antara satu sama lain sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

Kita lihat manusia hari ini sibuk membina rumah besar dan memasang pagar tinggi-tinggi dengan dinding tembok yang tebal sehingga memisahkan dirinya dari jiran sebelah dan hidup sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Marilah kita kembali kepada sunnah rasulullah dan ajaran Islam dalam menghidupkan masyarakat Islam dengan mengamalkan sunnah yang sudah semakin dilupakan iaitu menghidupkan semangat kejiranan.

Yang benar

emran ahmad Omar
San’a Yaman
(Jiran anda yang baik)

Jiran dalam Islam

Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.

Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.

Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.

Sekiranya dia seorang yang kaya dan menghuni di perumahan mewah maka jirannya ialah mereka yang mewah dan sekiranya dia miskin dan menetap di kampung maka jirannya terdiri di kalangan mereka yang sepertinya dan ada juga yang bercampur aduk.

Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.

Maksud dan Jenis Jiran Dalam Islam

Allah swt telah berfirman :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.

Allah menyebut (( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى)) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra manakala yang disebut dari riwayat Ikrimah dan Mujahid dan selain mereka yang mengatakan ianya ialah jiran muslim yang satu agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.

Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya.

Dan setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.

(lihat tafsir Tabari m/s 175-180 Jilid 5, tafsir Qurtubi m/s 183 Jilid 5 dan Tafsir Ibn Katsir m/s 495 Jilid 1dan Tafsir Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Kesemua makna yang tersebut di atas menrangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.

Berkata Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Kedudukan jiran itu berbeza-beza martabat dan kedudukan sekalipun masing-masing memiliki hak untuk berlaku baik dan dimuliakan dan hal ini jelas daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “ Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

Berkata Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan ibn Soleh Al-Fauzan dalam kitabnya “Fiqh Ta’amul Ma’an Nas” bahawa kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah, jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah dan jiran yang kafir.

Demikian juga seperti yang disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin m/s 153 Jilid 1 dan Tafsir Al-Qurtubi m/s 183 Jilid 5 serta Fathul Bari m/s 441 Jilid 10 yang menyebut bahawa terbahagi jiran itu kepada 3 jenis seperti yang disebutkan di bawah :

1) Jiran yang muslim dan berhubungan darah – Mereka ini mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan dan hak kejiranan

2) Jiran yang muslim tanpa hubungan darah – Mereka ini mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan.

3) Jiran yang bukan Islam – Mereka ini mempunyai satu hak iaitu hak kejiranan.

Kedudukan Jiran Menurut keutamaan

Dapat disimpulkan dari ayat surah An-Nisa dan pelbagai hadith mengenai keutamaan jiran bahawa jiran itu memiliki kedudukan berbeza mengikut keadaannya antara satu sama lain seperti yang turut disebut oleh Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Berikut ialah susunan kedudukan jiran yang utama dan yang diatur menurut kedudukan yang lebih berhak diberi keutamaan berbanding yang selepasnya :

1) Jiran yang muslim yang paling dekat dengan pintu rumah

Berdasarkan hadith yang banyak menyebut perihal darjat jiran yang antaranya daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

2) Jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan

Allah berfirman :
وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى
“..jiran tetangga yang berhubungan dekat” (An-Nisa: 36).

Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam juga bersabda : “Sedekah ke atas orang yang miskin itu pahalanya sedekah tetapi sedekah ke atas kaum kerabat baginya dua iaitu pahala sedekah dan dapat mengeratkan hubungan” .

(hadith sahih riwayat Nasaie no. 2582 dan Tirmidzi no. 658, Ibn Majah no. 1844 dan Ahmad 16276 serta Darimi dan Baihaqi juga Hakim dengan Isnad yang sahih, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dan dihasankan oleh Tirmidzi).

3) Jiran muslim yang berilmu dan alim serta memiliki fadhilat

Allah berfirman :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُم وَالَّذِينَ أُوتُوْا العِلْمَ دَرَجَاتِ
“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Juga dari riwayat yang dibawa oleh Imam Khatib Al-Baghdadi yang menyebut bahawa telah berkata Muhammad Al-Basri “ Diluaskan majlis (dberi penghormatan dalam majlis) kepada penghafaz Al-quran, ulama’ dan golongan tua dalam agama.”

(Lihat Khatib Al-Baghdadi dalam Jami’ Akhlaq Rawi wa Adab Sima’,m/s 393).

4) Jiran muslim yang soleh dan beribadah

Allah swt berfirman :
أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لاَ يَسْتَوُونَ
“ Apakah keadaan orang yang beriman itu sama halnya seperti orang yang fasiq ? Sungguh mereka tidak sama” (As-Sajadah : 18).

5) Jiran yang fasiq dan ahli maksiat

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Seorang muslim itu ialah saudara kepada muslim yang lain, tidaklah boleh dia menzaliminya dan menyerahkannya kepada musuh (untuk dianiayai)..”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2310 dan Muslim no. 2580)

6) Jiran yang kafir

Allah swt berfirman :
وَالْجَارِ الْجُنُبِ
“Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Had Lingkungan Kejiranan

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya seacra zahir kembali kepada uruf (adat setempat).

Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

(sila lihat dalam Fathul Qadir oleh Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan had lingkungan jiran disebabkan dalil yang wujud terlalu umum berdasarkan perkataan Khalifah Ali radiallahuanhu yang menyebut : “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Bermaksud bahawa sesiapa yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan tanpa pembesar suara maka dialah jiran.

Ada juga yang menetapkan bahawa jiran itu ialah yang berada dalam satu lingkungan yang dapat mendengar iqamah solat, sebahagian yang lain mengatakan pula jiran ialah mereka yang dapat besolat berjemaah pada waktu subuh dan Jumaat bersama-sama.

Manakala berdasarkan pendapat yang masyhur dari riwayat Aisyah ra dan para tabien seperti Hasan Al-Basri, Al-Auzaie dan Az-zuhri dan lain-lain ialah dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru.

(lihat dalam Tafsir Al-Qurtubi m/s 185 Jilid 5, Fathul Bari m/s 447 Jilid 10 dan Jami Ulum Wal Hikam 347 Jilid 1).

Kesimpulannya lingkungan kejiranan kembali kepada penakrifan umum dan adat setempat yang terpakai dalam sesuatu masyarakat kerana setiap kawasan berbeza adat dan budaya. Sekurang-kurang lingkungan dan jumlah bilangan jiran ialah 40 buah rumah dari segenap sisi penjuru dan selebih-lebihnya ialah yang terpakai dan diamalkan oleh masyarakat setempat.

Kepentingan Jiran dalam Islam

Allah swt menyebut di dalam Al-Qur’an :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah memesan kepada hamba-hamba-Nya supaya menjalankan kewajipan menyembah-Nya dan juga dalam masa yang sama menjalankan kewajipan kepada sesama hamba-hamba yang lain. Bahkan di dalam kitab dan sunnah banyak sekali ayat-ayat dan hadith yang menyebut perintah menjalinkan hubungan sesama makhluk dan manusia dengan baik dan ihsan.

Adapun berkait soal jiran, di dalam Islam jiran menduduki kedudukan yang utama dan mulia disisi syarak dan perlu dipenuhi hak-hak dan kewajipan serta memuliakan mereka supaya tercapai salah satu kebahagiaan yang disebut di dalam hadith yang dinyatakan sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Aisyah ra dan Ibn Umar ra daripada nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “ Selalu Jibril memesan kepadaku (supaya berlaku baik) perihal jiran sehingga aku seolah-olah menyangka mereka dapat mewarisi (harta pusaka)” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5668 dan Muslim no. 2624).

Jelaslah bahawa perintah Jibril di atas menyuruh berlaku ihsan dan baik kepada jiran dan melayani mereka dengan baik tanpa mengira apakah muslim atau kafir dan apakah jahat atau baik.

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Juga baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila rasulullah menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran sekaligus bermakna iman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan amal perbuatan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.

Demikian Al-Imam Baihaqi ra memasukkan dalam kitabnya Syabul Iman (Cabang Keimanan) dan menyebut pada cabang yang ke 67 dari cabang iman itu berdasarkan hadith 70 lebih cabang iman bahawa termasuk menghormati dan memuliakan jiran itu ialah cabang iman.

Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” .

(hadith sahih riwayat Muslim no. 45).

Demikianlah disebut oleh baginda rasulullah bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.

Memenuhi Hak Jiran

Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.

Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :

1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran

Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).

Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.

Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada nabi salallahualaihiwasalam akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 9673 dan Ibn Hibban no. 5763 danBukhari dalam Adabul Mufrad no. 119 dan Hakim no, 7304 dengan sahih Isnad dan disepakati oleh Adz-zahabi).

2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat

Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.

Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.

Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.

3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka

Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.

(hadith sahih riwayat Muslim no. 2625).

Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan

Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.

Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”

(hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 112 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 19452 dan Hakim no, 7307 dengan isnad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi dan berkata Hafidz Al-Munziri bahawa rijalnya siqah).

Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.

5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat

Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.

Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5670 dan Muslim no. 46).

Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.

Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.

Sabda rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 103 dan tibrani dan berkata Hafidz Al-Munziri perawinya siqah).

Kesimpulan

Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman.
لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).

Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.

Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.

Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.

Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban no. 1033 dan Abu ya’la no. 6536 dan Ibn Abi Syaibah no. 25421 dan Hakim no. 1951 denga sanad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi).

*******

p/s :

Semoga Artikel jiran ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah tidak perlu kepada jemaah untuk mengajar tentang rukun ukhuwah sebaliknya cukup sunnah dan kitab Allah.

Saya akan bercuti untuk beberapa waktu jika keadaan mengizinkan untuk pergi berniaga bagi mencari wang untuk belanja pulang ke Malaysia jadi mungkin tidak menulis di web ini dan akan digantikan oleh pelajar atau rakan-rakan saya yang lain yang akan menulis bagi pihak saya..

insyaAllah.

Segala puji hanyalah bagi Allah

Ustaz Emran at 9:28 PM

2 comments:

jul11:29 PM

assalammualaikum ustad,

Dah link artikel ustad tentang jiran kat blog saya. terrima kasih tak terhingga. Moga Allah rahmati kehidupan ustad sekeluarga

Reply

rose@ila5:39 AM

as salam ya ustaz
saya terbitkan artikel ini dalam newsletter Persatuan Penduduk kejiranan saya (JRA). syukran! artikel yang sangat bagus!

saya link blog ustaz di http://fizarose.blogspot.com/

Reply

Assalamualaikum,

Semoga komen ini membawa kebaikan...

Links to this post

Create a Link

Home

View web version

My Profile

Ustaz EmranMarilah kita Menunaikan ubudiyah kepada Allah swt. Seorang "bujang di jalan Allah" yang menyeru kaumnya untuk berjihad dan berubudiyah HANYA kepada ALLAH.View my complete profile

Powered by Blogger.

Monday, June 26, 2017

Aku

Aku bekerja
Bukan buat ke pesta
Ini muka penuh luka
Siapa punya?

Ku dengar seru menderu
Dalam hati ku
Apa hanya angin lalu?
Lagu lain pula
Mengelepar tengah malam buta

Ah...!!!
Segala menebal, segala mengental
Segala tak ku kenal
Selamat tinggal...!

Monday, November 28, 2016

Leman Sg Chincin

Tak tahu nak letak tajuk apa. Tapi kisah ini benar-benar berlaku beberapa tahun lalu. 


Saya fikir saya jahat! Saya juga fikir saya jahil. Saya cuba untuk berbuat baik, saya cuba buat secara sembunyi-sembunyi. Sebab banyak juga kisah para sahabat, mereka juga ada yang buat baik secara sembunyi-sembunyi. 


Jiran saya, Pak Tua. Hidup berseorangan. Oleh kerana dia berseorangan, saya cuba bantu hidup dia dengan memberikan dia wang belanja, mohonkan bantuan dari pusat zakat, dan ambil tahu tentang kesihatan dia. Saya berjiran dengan dia dari tahun 2002 hingga 2010. 


Alhamdulillah, sedikit sebanyak apa yang saya makan, dia dapat makan juga. Apa saya pakai, dia boleh pakai juga. Bila dia lapar, dia datang minta makanan, kalau dia nak belanja, saya bagi belanja. Sesekali bila tak sihat, dia minta belikan ubat. Kalau rasa sakit sangat, dia ajak ke klinik. 


Pada ketika dia menghembus nafasnya yang terakhir, saya dah ke tempat kerja. Dapat panggilan dari jiran mengatakan 'Pak Tua' dah tiada. 


Ketika sampai, saya lihat dia tertiarap di atas lantai. Kerana ketika orang nak masuk, pintu rumah berkunci. 


Datang seorang pemuda yang juga jiran saya. Nama Leman. Dia kerja mengambil upah kerja2 dalam kampung. Dia ambil upah mengali kubur juga. Dia banyak uruskan hal-hal berkaitan 'fardu kifayah' dalam kampung. Dulu ketika di kampung masih gotong royong kenduri, dia jugalah saya lihat yang sibuk uruskan hal kenduri kendara hinggalah pada urusan masjid. 


Sangat menyentuh hati saya, saya merasakan semua 'kebaikan saya pada Pak Tua' hilang begitu sahaja. Ketika saya lihat dia angkat 'jenazah' Pak Tua dengan penuh kasih sayang, dia lap muka Pak Tua dengan baju dia. Dia buang semut yang ada pada jasad Pak Tua yang mungkin kerana ada manisan minuman pada baju / pakaian Pak Tua pada malam sebelum ajalnya. 


Sangkaan saya, saya dah cukup baik. Rupanya si Leman ini telah membuktikan bahawa dia 'lebih baik' dari saya..


Jazakallah Khairan.. 

Saturday, August 6, 2016

Respon & alasan saya! #bolasepak

 Beberapa hari lepas, pasukan Fathur Karib kalah 10-0 dengan pasukan bolasepak DBKL. Ini merupakan kekalahan yang terburuk sejak saya kenal apa itu bolasepak. Mungkin ada yang anggap itu adalah 'nasib' yang akan di alami oleh mana-mana pasukan yang tidak mempunyai kumpulan pengurusan dan sumber kewangan yang baik. 

Sebenarnya, pada peringkat umur macam saya, saya lebih baik berada di dalam kumpulan pengurusan dan tidak mencampuri urusan melatih atau merekrut pemain yang lebih berbakat. 

Saya cuma ingin menyatakan pandangan saya, mengapa saya masih kekal setia bersama Fathur Karib. 

Saya sangat yakin, pihak pengurusan telah berusaha menyediakan satu platform untuk pemain baru mencipta nama di dalam bidang bolasepak. Setiap pemain mesti memiliki kriteria tertentu sebelum bergelar pemain negeri atau pemain profesional. 

Saya tak kejar kejayaan pasukan seperti pasukan JDT! Saya tak kejar elaun untuk memberi khidmat. Tapi saya bangga kerana berjaya bersama pasukan. Saya bangga dapat memberi peluang kepada pemain muda mencipta nama. 

Anda boleh datang dan pergi. Anda boleh pilih untuk bermain dengan pasukan yang lebih baik. Tapi anda tak mungkin bergelar sebagai pemain yang hebat jika anda tak pernah langsung bermain dalam Liga Divisyen 1 atau Divisyen 2. 

Kesimpulannya, jika anda berminat nak bermain ke peringkat yang lebih tinggi, anda di pelawa bersama pasukan kami. Mungkin masa depan anda akan lebih baik apabila anda berjaya mengharungi semusim liga dengan ikhlas. 

Percayalah, hari ini anda mungkin gelakkan pasukan saya kerana kami tak hebat. Jika bersama  pasukan 'underdog' pun anda tak mampu buat, bagaimana anda nak main dengan pasukan yang lebih hebat? 

Majulah Sukan Bola Sepak Untuk Negara.. 

Ikhlas dari saya,

Hisham bin Hashim
Penolong Pengurus
Pasukan Bolasepak Fathur Karib